Home PT3 Sukatan Pelajaran
Sukatan Pelajaran Sejarah Menengah Rendah
Written by Cikgu Khoo   
Wednesday, 11 January 2012 22:09

TEMA 1 :  ZAMAN PRA SEJARAH DAN KEAGUNGAN KESULTANAN MELAYU MELAKA

Tema ini menyentuh kemunculan masyarakat prasejarah dan kerajaan-kerajaan awal di Asia Tenggara sebagai latar belakang kepada kemunculan Kesultanan Melayu Melaka.  Kesultanan Melayu Melaka menjadi sebuah kerajaan yang kuat di Gugusan Kepulauan Melayu pada kurun ke 15 dan awal kurun ke 16.  Pada zaman kegemilangannya, Kesultanan Melayu Melaka telah membina satu tradisi politik, ekonomi dan budaya yang kekal diwarisi sehingga kini.  Kegemilangan dan kemakmurannya telah menarik minat Portugis datang ke Melaka dan menawan Melaka pada tahun 1511.

 

TEMA 2:  KESULTANAN MELAYU MELAKA MENJADI ASAS KERAJAAN MASA KINI

Tema ini memfokuskan Kerajaan Melayu Johor yang menegakkan semula kewibawaan Kesultanan Melayu Melaka.  Seterusnya, tema ini mengisahkan kewujudan kerajaan-kerajaan Melayu lain yang mewarisi kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka seperti Perak dan Pahang.  Selain daripada itu, dibincangkan juga beberapa kerajaan lain yang telah mendadaptasi corak pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka dalam pentadbiran kerajaan di Selangor, Kedah, Terengganu dan Kelantan.  Negeri Sembilan pula mempunyai ciri-crii pentadbirannya yang tersendiri.  Tema ini juga membincangkan Sarawak dan Sabah dari segi latar belakang, keadaan masyarakat dan kegiatan ekonomi.

 

TEMA 3:  KEMAKMURAN DAN KEKAYAAN NEGARA KITA MENARIK KUASA LUAR UNTUK MENJAJAH

Tema ini mengisahkan penapakan, perluasan pengaruh dan penjajahan British di negara kita.  British telah memperkenalkan sistem pentadbirannya dalam kehidupan masyarakat Melayu yang telah menjejaskan kedudukan pemimpin tempatan.  Bagi tujuan mengeksploitasi kekayaan negara kita, British memperkenalkan ekonomi dagangan, industri dan penggunaan teknologi moden.  Perubahan ini membawa berbagai-bagai kesan dalam kehidupan masyarakat sehingga menyebabkan sistem ekonomi tradisional terpinggir.

 

TEMA 4:  TINDAKBALAS MASYARAKAT TEMPATAN TERHADAP PENJAJAH BRITISH

Tema ini menumpukan kepada kebangkitan semangat kebangsaan secara tersusun bagi membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.  Perjuangan bermula dengan kebangkitan tokoh-tokoh setempat, badan-badan dan kesatuan-kesatuan yang mempunyai corak perjuangan dan matlamat yang tertentu.  Pemupukan kesedaran semangat kebangsaan juga disalurkan melalui pendidikan, karya penulisan, akhbar dan majalah.

 

TEMA 5:  PERJUANGAN RAKYAT KE ARAH KEMERDEKAAAN TANAH AIR

Tema ini memaparkan detik-detik perjuangan rakyat ke arah menuntut kemerdekaan tanah air.  Pengalaman semasa pemerintahan Jepun menyemarakkan lagi semangat kebangsaan di kalangan rakyat.  Pembentukan Malayan Union 1946 ditentang hebat oleh orang Melayu sehingga memaksa kerajaan British menggantikkannya dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948.  Ancaman pengganas komunis tidak menghalang perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan, malah mempercepatkan lagi usaha-usaha ke arah berkerajaan sendiri.  Perjuangan rakyat mencapai kejayaan dengan Pemasyhuran Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.  Perubahan pentadbiran juga berlaku di Sarawak dan Sabah ke arah mencapai taraf berkerajaan sendiri.

 

TEMA 6:  PEMBENTUKAN PERSEKUTUAN MALAYSIA

Tema ini membincangkan penubuhan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.  Persekutuan ini bertujuan menjamin perpaduan kemakmuran dan keselamatan bersama.  Gagasan ini telah menghadapi pelbagai rintangan dari dalam dan luar negeri pada peringkat awal pembentukannya.  Walau bagaimanapun, berkat keazaman yang kuat, akhirnya pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia diisytiharkan.

Klik Sini?
Last Updated on Thursday, 05 September 2013 21:45